PRN Johor: BN Tak Boleh Berharap Ihsan Pembangkang Semata-mata

JOHOR BAHRU: Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohamed berkata kemajuan rakyat dan negeri tersebut yang dikecapi sebelum ini boleh dikembalikan apabila rakyat memberikan mandat  baharu melalui Pilihan Raya Negeri (PRN).

Dalam sidang media selepas mengadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar petang tadi, Hasni turut menegaskan bahawa kerajaan negeri itu tidak boleh sentiasa berharap pada ihsan pembangkang semata-mata, apatah lagi bilangan kerusi parti Kerajaan dan Pembangkang yang dibezakan oleh majoriti satu kerusi sahaja.

“Saya berangapan bahawa Kerajaan yang ada perlu terus berusaha menjadikan negeri Johor ini seperti mana yang pernah dilalui. Sebuah negeri yang dinamik, pesat pembangunannya, sebuah negeri yang rancak program-program untuk kepentingan rakyat yang perlu diteruskan

“Tetapi memandangkan kedudukan kerajaan yang boleh dikatakan bergerak di atas ihsan pembangkang, saya fikir tidak wajar sama sekali berlaku di negeri Johor,” katanya

Hasni memberi contoh mengenai kejadian yang berlaku dalam Dewan Undangan Negeri Johor baru-baru ini yang terpaksa bergantung ihsan kepada undi ADUN Pembangkang.

“Keputusan melaksanakan PRN ini dibuat kerana saya merasakan kerajaan johor ketika ini hanya bergerak atas ihsan pembangkang.

“Contohnya ketika Dewan Undangan Negeri (DUN) lalu, ADUN pembangkang bertegas meminta untuk mereka dilibatkan dalam Jawatankuasa Tindakan Bencana Daerah walaupun perkara itu dalam bidang kuasa Pejabat Perdana Menteri.

“Kerana mereka (PH) bertegas maka undian dibuat menyaksikan kedudukan seri 27 menyokong dan 27 membangkang, akhirnya Speaker DUN daripada PH menyokong kerajaan, itu yang saya cakap atas ihsan,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat UMNO Johor, di sini selepas kembali dari Istana Bukit Serene.

Dengan hanya lebih satu majoriti, Hasni berkata, tidak ada sesiapa boleh mempertikaikan bahawa kerajaan negeri Johor berada dalam keadaan yang amat tidak stabil.

Tegas beliau, Johor tidak sepatutnya berada dalam kedudukan seperti itu jika ingin terus melaksanakan program-program untuk kepentingan dan masa depan rakyat dan negeri Johor.

“Saya perlu mendapatkan semula mandat daripada rakyat Johor, bagaimana kerajaan yang kuat dapat membantu negeri dan rakyat Johor untuk lebih maju dan berjaya berdasarkan strategik dan potensi negeri Johor.

“Maka PRN negeri ini sebagai usaha untuk mendpatkan semula mandat daripada rakyat,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles