PRN Johor: Akar Umbi Mahu BN Bergerak Solo

 

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) terbuka dengan kerjasama politiknya dengan PAS, namun dalam masa yang sama maklum akan penolakan akar umbi gabungan itu terhadap parti komponen Muafakat Nasional (MN) berkenaan.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata akar umbi di semua peringkat bersepakat mahu gabungan itu bergerak solo tanpa PAS dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

”Walau bagaimanapun kita di peringkat pemimpin tertingi akan meneliti sebaik-baiknya pendirian akar umbi supaya setiap keputusan yang diambil akan mendatangkan kebaikan kepada BN,” katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis perjumpaan BN di Bangunan UMNO Johor, hari ini.

Majlis itu dihadiri sama Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Hasni Mohammad.

Mohamad, ketika ditanya kesukaran BN mendapatkan majoriti dua pertiga pada PRN Johor sekiranya ia bergerak solo berkata, kekuatan jentera parti menjadi penentu kepada kemenangannya kelak.

”Kerjasama antara parti BN itu penting bukan bawa haluan masing masing, UMNO dengan UMNO, MCA dengan orang MCA dan MIC dengan MIC.

“Kita perlu bergerak sebagai satu parti yang besar kerana di Johor dan negeri lain memang ada komposisi kaum di setiap zon, itu memang ada. Saya yakin jika dibuat dengan baik, kita boleh mencapai kemenangan jika diberi kepercayaan,” tegasnya.

Sementara itu, menjelaskan pertemuan pimpinan tertinggi UMNO dan BN pada hari ini, Mohamad berkata ia bertujuan memberi semangat kepada parti-parti komponen untuk menggerakkan jentera sempena PRN nanti.

”Kata-kata semangat oleh Pengerusi BN dan Hasni adalah penting untuk pastikan gerak kerja jentera BN berfokus. Masing-masing perlu tahu apa hendak dilakukan agar tidak ada kekeliruan sesama sendiri,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles