PRK KKB : Tok Mat Kurang Senang Dengan Keputusan MCA, MIC Enggan Turun Kempen

NEGERI SEMBILAN — Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Mohamad Hasan menyuarakan rasa ‘kurang senang’ dengan keputusan MIC dan MCA enggan turun berkempen pada PRK Kuala Kubu Baharu.

Katanya, ini kerana ketika BN bertanding di PRK Pelangai, parti dalam kerajaan perpaduan turut membantu selain menyifatkan PRK bukan seperti PRU.

Mohamad yang juga timbalan presiden Umno, berkata kerusi Kuala Kubu Baharu milik Pakatan Harapan (PH) selaku parti penyandang, tidak sepatutnya timbul pihak dalam kerajaan perpaduan enggan berkempen bersama.

“Ini bukan PRU, kita boleh tukar-tukar kerusi, tapi bila ada kematian, kita bagi peluang kepada parti pemegang jawatan untuk meletakkan calon.

“Namun, berhubung hasrat MCA dan MIC yang enggan berkempen, kita akan uruskan perkara itu dalam BN, sebab dulu semasa di Johor (PRK Pulai, Simpang Jeram), Amanah bertanding kita bantu. Apabila PRK Pelangai yang ditandingi BN (Umno), semua parti dalam kerajaan perpaduan juga membantu bersama,” katanya menurut Harian Metro di Rembau.

Beliau mengulas keputusan MCA tidak akan berkempen pada PRK Kuala Kubu Baharu jika calon kerajaan perpaduan bukan daripada BN, semalam. Jawatankuasa Pembangunan Politik MCA berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat, menjelang PRK itu, pada 11 Mei.

Sebelum ini, Presiden MIC S A Vigneswaran berkata parti itu tidak akan turun berkempen pada PRK Kuala Kubu Baharu kerana tidak ditandingi calon BN.

PRK Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong dari DAP pada 21 Mac lalu akibat barah.

Mohamad yang juga menteri luar, berkata prinsip diamalkan sebelum ini adalah saling membantu.

“Orang dah bantu kita, kini kita pula membantu, ini semua untuk pastikan supaya urusan menghadapi PRK ini dapat diuruskan dengan baik,” katanya.

Mohamad menegaskan, BN bukan bergabung dengan PH tapi sekadar membantu rakan dalam kerajaan perpaduan.

BBerkaitan

Latest articles