PRK Kemaman: UMNO Akan Tebus Kekalahan Lalu Kerana Kebencian, Fitnah

KUALA LUMPUR: Fitnah dan kebencian yang dikhususkan kepada UMNO menjadi punca parti itu tewas kepada calon PAS, Che Alias Hamid di kerusi Parlimen Kemaman pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15), November lalu.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga menegaskan Kemaman bukanlah kubu kuat dan kerusi selesa buat PAS.

“Kemaman adalah kubu kuat UMNO namun disebabkan fitnah dan juga simbahan kebencian terhadap UMNO khususnya dan BN serta penggunaan sumber-sumber kewangan yang sangat luar biasa pada ketika itu, maka kita kekurangan kira-kira 27,000 undi di Kemaman.

“Maka kali ini, dengan persetujuan perhubungan dan BN Terengganu serta ketua-ketua UMNO bahagian, UMNO meletakkan seorang tokoh mewakili BN di Kemaman,” katanya dalam sidang media pengumuman calon BN di PRK Kemaman, hari ini.

Hadir sama adalah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Pengaran Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.

Dalam sidang media yang sama juga, Ahmad Zahid berkata, tiba masanya untuk BN meletakan calon langsung di PRK Parlimen Kemaman.

Ini bukanlah kali pertama UMNO mengambil langkah sedemikian, kerana ia pernah dilakukan di PRK Cameron Highlands pada tahun 2019.

“Tiba masanya (untuk letak calon langsung) kerana Kemaman ini bukan kubu kuat Pas, kita letakkan calon yang diberi kepercayaan oleh UMNO.

“Calon yang diabsahkan oleh UMNO untuk mewakili rakyat Kemaman di Dewan Rakyat nanti,” katanya lagi.

Pagi tadi BN mengumumkan bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor sebagai calonnya pada PRK Kemaman pada 2 Disember depan.

Raja Mohamed Affandi, 66, yang dilahirkan di Besut pernah tersenarai sebagai calon untuk di Parlimen Besut pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) November lalu.

Oktober lalu, Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan Perikatan Nasional (PN) di kawasan itu kerana isu rasuah.

Kerusi itu dimenangi oleh Che Alias Hamid dari PAS dengan majoriti 27,170 undi mengatasi pesaing terdekatnya, bekas menteri besar UMNO, Datuk Seri Ahmad Said.

BBerkaitan

Latest articles