PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Perak pada 26 April 2025.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun, mengumumkan bahawa hari penamaan calon ditetapkan pada 12 April, manakala pengundian awal akan berlangsung pada 22 April.
Ketetapan dibuat dalam mesyuarat khas SPR yang diadakan hari ini di Menara SPR.
PRK Ayer Kuning diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin, pada 22 Februari lalu akibat serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.
Ishsam, 59, merupakan Ketua UMNO Bahagian Tapah dan memenangi kerusi tersebut dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan majoriti 2,213 undi, mengalahkan calon dari Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Parti Pejuang Tanahair, dan Parti Sosialis Malaysia.
Berdasarkan Perkara XXXVI (5), Bahagian Pertama, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan, kekosongan luar jangka ini perlu diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan itu dipastikan SPR.
Ramlan memaklumkan bahawa PRK Ayer Kuning memerlukan peruntukan sebanyak RM2.5 juta.
Sebanyak 21 pusat mengundi akan dibuka, termasuk 19 pusat mengundi biasa dan dua pusat mengundi awal, melibatkan 66 saluran keseluruhan.
Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) bagi PRK Ayer Kuning merekodkan seramai 31,897 pemilih berdaftar, terdiri daripada 31,315 pengundi biasa dan 582 anggota polis serta pasangan mereka dalam Pasukan Gerakan Am (PGA).
Pengundi boleh menyemak maklumat pusat dan saluran mengundi melalui portal rasmi SPR di https://mysprsemak.spr.gov.my, aplikasi MySPR Semak, atau menghubungi talian hotline SPR mulai 25 Mac.