KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meluahkan rasa kecewa dengan keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning yang menyaksikan kemenangan berpihak kepada Barisan Nasional (BN).
Menurut Dr Mahathir, beliau tidak memahami mengapa pengundi memberikan sokongan kepada pihak yang, menurutnya, berjuang untuk kepentingan parti, bukan untuk negara.
“Saya sedih dan tidak faham kenapa beri kemenangan kepada orang yang berjuang bukan untuk negara, tetapi parti,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) di ibu negara, hari ini.
Pada PRK Sabtu lalu, calon BN, Dr Mohamad Yusri Bakir yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, mencatatkan kemenangan besar apabila memperoleh 11,065 undi dengan majoriti 5,006 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Abdul Muhaimin Malek yang meraih 6,059 undi. Calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS pula mendapat 1,106 undi.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kekosongan kerusi selepas penyandangnya, Ishsam Shahruddin meninggal dunia akibat serangan jantung ketika menyertai perlawanan bola sepak persahabatan di Pulau Pinang pada 22 Februari lalu.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebelum ini, Allahyarham Ishsam berjaya mengekalkan kerusi tersebut dengan majoriti 2,213 undi dalam pertandingan lima penjuru.