TAPAH, Pengerusi Perhubungan UMNO Perak merangkap Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menyifatkan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning sebagai peluang terbaik bagi pengundi membuat pembetulan terhadap kesilapan lalu, khususnya mereka yang pernah terkeliru semasa Pilihan Raya Umum ke-15.
“Dulu mungkin ada yang keliru—warna biru BN dan PN hampir sama. Tapi kali ini, jangan ulangi kesilapan itu. PRK Ayer Kuning ini adalah tempat terbaik untuk betulkan semula keputusan kita,” katanya ketika berucap dalam program jamuan makan tengahari dan Rahmah Mesra di PDM Changkat Petai, Tapah disini hari ini.
Beliau menyeru semua pengundi agar keluar mengundi pada 26 April ini dan tidak terpedaya dengan dakyah bahawa BN telah menang selesa.
“Jangan dengar cakap orang kata BN dah menang, tak perlu keluar mengundi. SPR bukan kira kehadiran berbuka puasa atau solat terawih. Mereka kira kertas undi dalam tong.”
Jangan Serah Kad Pengenalan
Saarani turut memberi amaran agar tidak menyerahkan kad pengenalan kepada mana-mana pihak, walaupun dijanjikan ganjaran seperti tanah.
“Jangan bagi kad pengenalan. Walau dijanjikan macam-macam, jangan mudah percaya. Kad pengenalan itu boleh disalahguna untuk tujuan yang kita tak tahu,” tegas beliau.
Gerakkan Keluarga, Jiran dan Rakan
Beliau juga mengajak rakyat untuk menggerakkan seluruh isi rumah, jiran tetangga dan kenalan untuk turun mengundi.
“Mak Long tolong cari Pak Long, Pak Long tolong cari Mak Long. Telefon anak-anak, cucu-cucu—kalau dulu silap undi, inilah masanya untuk betulkan.”
Calon BN Anak Tempatan
Menurut beliau, calon BN adalah anak tempatan yang berpendidikan dan dikenali ramai, justeru yakin akan membawa suara rakyat dengan penuh tanggungjawab.
“Calon kita orang tempatan, berpendidikan, dan memahami keperluan rakyat Ayer Kuning. Inilah masa kita beri kepercayaan sepenuhnya kepada beliau.”
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian penyandang kerusi, Allahyarham Datuk Isham Shahruddin. Pertandingan kali ini menyaksikan saingan tiga penjuru antara calon BN, PN dan PSM.