KUALA LUMPUR: Seramai 54.01% pengundi telah keluar menunaikan tanggungjawab dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning setakat jam 4 petang, menurut makluman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Sebanyak 19 pusat mengundi dengan 63 saluran dibuka serentak seawal jam 8 pagi tadi bagi memudahkan urusan pengundian.
Bagaimanapun, Sekolah Kebangsaan Toh Tandewa Sakti menjadi satu-satunya pusat mengundi yang ditutup lebih awal pada jam 4 petang, manakala 18 pusat lain ditutup pada 6 petang.
Proses pengundian kali ini membabitkan seramai 31,281 pengundi berdaftar yang akan memilih wakil rakyat baharu selepas kerusi DUN Ayer Kuning kosong susulan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin dari Barisan Nasional (BN) pada 22 Februari lalu.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), peratusan keluar mengundi bagi DUN ini mencecah 74.85%, dengan Ishsam yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 2,213 undi dalam pertandingan lima penjuru.
PRK Ayer Kuning kali ini menyaksikan pertarungan tiga penjuru membabitkan calon BN, Mohamad Yusri Bakir, calon Perikatan Nasional (PN), Abd Muhaimin Malek, dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), KS Bawani.
Keputusan rasmi PRK dijangka diumumkan malam ini sebaik sahaja proses pengiraan undi selesai.