Prestasi Lemah PRN, Ahmad Zahid Janji ‘Turun Padang’ 191 Cawangan UMNO

KUALA LUMPUR: Mengakui kelemahan dan prestasi buruk UMNO pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri dua minggu lalu, Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berjanji akan menemui kesemua pemimpin di 191 cawangan parti.

Bahkan Ahmad Zahid memaklumkan Barisan Nasional (BN) telah melakukan post-mortem terhadap kekalahannya baru-baru ini.

Pihaknya sudah menerima laporan daripada penerangan dan ‘war room’ gabungan itu selepas keputusan tidak menyebelahi BN.

“Kita telah melakukan post-mortem melalui mesyuarat biro politik setelah kita menerima laporan daripada penerangan dan juga warroom.

“Kita tidak lagi menoleh ke belakang sebaliknya kita akan mara ke hadapan. Saya sendiri akan turun ke 191 bahagian di seluruh negara.

“Saya berhajat untuk bertemu bukan sahaja kepimpinan empat peringkat tapi juga ketua cawangan, ketua Wanita dan Ketua Pemuda Cawangan.

“Ertinya saya mahu menemui semua kepimpinan di seluruh peringkat. Saya harap ini adalah pusingan pertama dan kita ada masa yang pada saya sehingga pusingan kedua boleh bertemu dengan ahli-ahli di peringkat cawangan, ” katanya dalam sidang media Himpunan Solidariti Wanita bersama Presiden ‘Mempertahankan Institusi Presiden’ di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini..

Himpunan Solidariti Wanita bersama Presiden ‘Mempertahankan Institusi Presiden’ anjuran Wanita UMNO dihadiri lebih 1,000 wanita dari 13 negeri, atas tujuan untuk mempertahankan institusi Presiden UMNO.

Program dihadiri ketuanya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan naibnya, Datuk Norliza Abdul Rahim.

BBerkaitan

Latest articles