BERA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan kerajaan berada pada landasan tepat dalam memulihkan ekonomi negara selari dengan laporan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara untuk suku ketiga tahun ini.
Ini sekaligus menepis tuduhan pembangkang kononnya kerajaan gagal memacu pemulihan ekonomi negara pasca COVID-19.
“Hari ini, Bank Negara dan Jabatan Perangkaan (DOSM) telah mengumumkan pertumbuhan KDNK suku ketiga 2022, adalah sebanyak 14.2 peratus, satu pertumbuhan yang pesat berbanding suku kedua seperti yang kita umum dulu 8.9 peratus.
“Saya percaya ini adalah salah satu yang tertinggi di Asia Tenggara ini, jadi prestasi suku ketiga ini jelas menunjukan kejayaan kerajaan dalam memacu pemulihan ekonomi didalam pasca COVID-19 ini,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Program Moh Ngeteh Santai Orang Kita di Kampung Orang Asli Bongkok, Kemayan, Bera, Pahang petang tadi.
Pertumbuhan KDNK itu menyaksikan sektor perdagangan borong dan runcit telah mencapai sebanyak RM134 bilion untuk bulan September 2022 iaitu peningkatan sebanyak 23.9 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Jadi saya harap itu memberikan gambaran bahawa rakyat kita masih mampu untuk berbelanja,” ujarnya.
Selain itu, beliau berkata, proses pemulihan ekonomi ketika peralihan negara ke fasa endemik juga mendorong prestasi memberangsangkan sektor swasta dan pasaran buruh negara.
“Begitu juga dengan kadar pengangguran pada Ogos. Bulan lepas 3.7 peratus manakala bulan ni bulan September 2022 3.6% berbanding bulan Ogos 2021 4.6%.
“Kita telah buktikan, berlaku peningkatan yang mendadak dari segi KDNK negara kita malah dari segi pengangguran, satu perkara yang sering dimomokkan seolah-olah rakyat tidak ada pekerjaan,” tambahnya.