Prestasi Buruk PN, Muhyiddin Sedia Letak Jawatan

JOHOR BAHRU: Berikutan kekalahan teruk Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semalam, Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan kesediaan meletak jawatan atas dasar tanggungjawab.

Untuk rekod, PN hanya menang di tiga kerusi daripada kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

Kerusi-kerusi itu adalah Maharani, Endau dan Bukit Kepong.

“Ya, saya bertanggungjawab. Tiada masalah (untuk letak jawatan).

“Saya bersedia (letak jawatan) bila-bila masa sekiranya ahli parti membuat keputusan sedemikian…

“Kalau nak tukar saya terima. Kita amalkan sistem progresif. (Jawatan pengerusi) Bukan hak saya, (tapi) keputusan parti atau kepimpinan parti komponen PN,” katanya kepada pemberita di pusat operasi PN di Senai.

Meskipun begitu, Muhyiddin percaya PN masih punya sokongan kerana kemampuannya untuk menang di tiga kerusi tersebut.

“Selepas meneliti data, kita dapat melihat terdapat sokongan di kawasan tertentu untuk PN walaupun ia baru.

“Kempen kita pada pilihan raya kali ini menarik minat rakyat Johor tetapi ia tidak seperti yang kita harapkan. Bagaimanapun, perjuangan kita akan diteruskan,” tambahnya.

Dalam masa yang sama Ahli Parlimen Pagoh itu memaklumkan gabungan itu akan mengadakan penelitian terhadap prestasi mereka sepanjang PRN Johor itu.

BBerkaitan

Latest articles