Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sabah yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin perlu tampil dan bersemuka dengan kumpulan yang tidak berpuas hati dengannya dan menyelesaikan konflik yang berlaku.
Langkah itu diberitahu oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahamd Zahid Hamidi.
Beliau sudah pun meminta Bung Moktar yang juga sebagai Ketua Bahagian UMNO Kinabatangan untuk bertemu dengan pihak yang berkenaan untuk cari jalan penyelesaian.
Ahmad Zahid berkata jika konflik itu diselesaikan, ia akan memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan diadakan hujung bulan depan.
BACA JUGA – Warga Emas Mati Kereta Terjatuh Dari Tingkat Tiga Apartment
“Saya tidak nampak ada permasalahan kerana mungkin ada perbezaan pendapat. Tetapi saya sudah meminta Bung untuk melakukan ‘engagement’ dengan semua pihak dalam dan luar parti supaya kemenangan memihak kepada kita.
“Hari ini, ada mesyuarat perhubungan UMNO Sabah dan saya akan mendapatkan maklum balas selepas mesyuarat itu mengenai beberapa tindakan bersama yang akan kita lakukan bagi memenangkan semua calon kita,” katanya selepas mengadakan ziarah kasih di FELDA Besout 2 di Slim River, Perak semalam.
Sebelum ini, ada beberapa kumpulan yang menyuarakan rasa tidak puas hati dan membantah pelantikan Bung Moktar sebagai Ketua Jentera Pilihan Raya bagi UMNO untuk pilihan raya itu.
Wakil kumpulan itu, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata pemimpin yang menjadi Ketua Jentera Pilihan Raya mestilah bebas daripada persepsi negatif yang boleh dimanipulasi oleh pihak lawan.
Ahmad Zahid berkata, beliau juga sudah meminta Bung Moktar menyelaras dengan semua Ketua Bahagian UMNO di Sabah, selain menumpukan kerjasama dengan parti lain, termasuk Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Cinta Sabah (PCS).

“Kita menjangka pada kali ini Parti Warisan Sabah (WARISAN) akan diberikan tentangan oleh parti-parti berkenaan dan saya amat yakin koordinasi ini boleh dilakukan oleh Bung Mokhtar.
“Beliau (Bung Mokhtar) sudah bergerak ke lima zon di Sabah yang meliputi 73 kawasan DUN. Apa yang dilakukan untuk merapatkan barisan di Sabah, biarpun ada perbezaan pendapat.
“Semua pihak perlu merapatkan barisan kerana kemenangan bergantung kepada penyatuan pemikiran dan tindakan pelbagai pihak bukan sahaja di dalam UMNO tetapi dalam kalangan parti-parti politik di Sabah,” kata Ahmad Zahid.
Pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pada 26 September sebagai tarikh hari mengundi bagi pilihan raya negeri Sabah.
Hari penamaan calon ditetapkan pada 12 September dan hari mengundi awal ditetapkan pada 22 September nanti.