Presiden Bersatu: Muhyiddin Menang Tanpa Bertanding

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengekalkan jawatannya sebagai Pengerusi Bersatu selepas menjadi calon tunggal bagi jawatan berkenaan pada pemilihan parti yang akan berlangsung pada Ogos ini.

Manakala bagi jawatan Timbalan Presiden dimenangi oleh Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, yang juga menjadi calon tunggal jawatan tersebut.

Bagaimanapun Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Tan Sri Syed Hamid Albar ketika dihubungi Bernama berkata, pengumuman secara rasmi mengenai keputusan pemilihan itu akan dibuat selepas selesai kesemua mesyuarat Bahagian Bersatu yang dijangka pada Ogos ini.

“Secara rasmi tiada calon lain bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden, kerana pencalonan sudah ditutup, namun pengumuman rasmi (keputusan) hanya akan dibuat selepas selesai mesyuarat bahagian,” katanya.

Kemenangan Muhyiddin menyusul selepas keahlian bekas pengerusi, Tun Dr Mahathir Mohamad terhenti serta-merta selepas beliau dan empat yang lain duduk di blok pembangkang pada sidang parlimen 18 Mei lalu.

Dr Mahathir, pada 16 Mac lalu, diumumkan menang tanpa bertanding bagi jawatan nombor satu parti itu, tanpa dicabar oleh mana-mana pemimpin, selepas proses penamaan calon bertanding untuk pemilihan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) ditutup.

Sementara itu, JPP pada semalam turut melakukan proses cabutan nombor calon bagi kesemua calon yang layak bertanding di peringkat MPT, Armada dan Srikandi.

17 calon disenarai bertanding bagi jawatan Naib Presiden, antaranya Menteri Kanan Pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin, Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.

Jawatan Ketua Armada pula menyaksikan perebutan dua calon iaitu Timbalan Menteri Belia dan Sukan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Exco Armada Muzzamil Ismail.

Jawatan Ketua Srikandi menyaksikan saingan empat penjuru membabitkan penyandangnya yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun, Ketua Bersatu Bahagian Kepala Batas Datuk Azlina Mehtab Mohd Ishak, Datin Iza Ismail dan Zuhuraina Makmur.

Bagi MPT, seramai 163 calon bertanding jawatan tersebut.

Komen

Berkaitan

Media Sosial

19,954FansLike
3,873FollowersFollow
21,200SubscribersSubscribe

Terkini