Presiden Bersatu Hentikan Lantikan Akram Dan Marzuki Dari Pimpinan Parti

PRESIDEN Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberhentikan seorang ketua pimpinan negeri dan seorang ahli majlis tertinggi lantikan dari parti berkenaan semalam.

Menerusi sepucuk surat yang ditandatangani beliau sendiri, Muhyiddin memberhentikan Marzuki Yahya dan Akhramsyah Muamar Ubaidah Sanusi masing-masing daripada jawatan sebagai ketua Badan Pimpinan Bersatu Pulau Pinang dan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).

Pemecatan itu berkuat kuasa serta merta, kata Muhyiddin dalam surat berasingan kepada mereka.

Surat bertarikh 2 Jun itu tidak menyebut kedudukan mereka sebagai ahli parti.

Muhyiddin juga menandatangani surat itu sebagai pemangku pengerusi, ketika Dr Mahathir mempertahankan beliau masih lagi pengerusi parti yang sah.

Bersatu kini terbelah dua selepas Muhyiddin membawa parti keluar dari Pakatan Harapan dan membentuk gabungan baharu bersama Umno dan parti-parti lain atas nama Perikatan Nasional.

Dr Mahathir dan kumpulannya mendakwa tindakan itu tidak mendapat mandat parti. Mereka juga sudah merujuk bantahan itu kepada pendaftar pertubuhan.

Pada hujung Mac, Muhyiddin memecat Marzuki sebagai setiausaha agung Bersatu dan menggantikan beliau dengan Hamzah Zainuddin. Marzuki mempertikaikan keabsahan tindakan itu dan mendakwa dirinya masih setiausaha agung parti yang sah.

Minggu lalu, Bersatu mengeluarkan surat kepada Dr Mahathir, yang juga ahli Parlimen Langkawi, dan empat ahli Parlimen Bersatu memaklumkan keahlian mereka dalam parti “terhenti” serta merta atas tindakan mereka sendiri yang melanggar perlembagaan parti.

Mereka disebut tidak menyokong kerajaan Perikatan Nasional yang diterajui oleh Muhyiddin dan mereka duduk  di blok pembangkang semasa sidang Parlimen pada 18 Mei lalu.

Empat ahli Parlimen yang lain itu ialah Timbalan Presiden Mukhriz Mahathir (Jerlun), Ketua sayap Pemuda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar), Ahli MPT Maszlee Malik (Simpang Renggam), dan Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu).

 

BBerkaitan

Latest articles