KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Rapid Rail, Azharuddin Mat Shah membuat permohonan maaf terbuka kepada semua pengguna LRT bagi laluan Kelana Jaya dan LRT Ampang Park ekoran kesulitan yang berlaku.
Susulan itu, Azharuddin, menerusi sidang media hari ini berkata, Prasarana sedang mengkaji bagaimana ia boleh memberi pampasan dan bayaran balik kepada penumpang yang terjejas akibat gangguan di sepanjang laluan LRT Kelana Jaya.
Beliau menyifatkan, masalah berkaitan kawalan tren automatik ini adalah yang pertama kali dihadapi Rapid Rail dan ia berlaku di luar jangkaan.
“Masalah ini yang pertama kali kami hadapi, masalah rumit yang terjadi sejak Sabtu lepas dan pihak jurutera kami telah cari solusi, setiap kali cari solusi ia hanya bertahan selama satu atau dua hari jadi maknanya punca sebenarnya kami tidak dapat kenal pasti lagi.
“Masalah ini berlaku pada luar jangkaan kami dan masalah ini jarang didengari berlaku di mana-mana pun,” katanya ketika sidang media di sini hari ini.
Menurut Ahzaruddin, penggantungan operasi LRT itu terpaksa dilakukan bagi membolehkan pakar-pakar mencari jalan penyelesaian terhadap gangguan komponen elektronik sistem kawalan tren automatik (ATC) yang berlaku sejak Sabtu lalu.
Lantaran itu juga, perkhidmatan LRT di stesen yang terlibat terpaksa dihentikan demi keselamatan para pengguna.