Politik Seharusnya Menyatukan Kaum – PM

KUALA LUMPUR: Rakyat di negara ini boleh bersatu-padu sekiranya tiada perbezaan pegangan politik, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ujarnya lagu, politik patut menjadi landasan kepada penyatuan.

“Kepentingan peribadi dan pegangan politik akhirnya menerbitkan bibit-bibit permusuhan yang boleh membawa kepada perpecahan dalam kalangan keluarga Malaysia.

“Perkara ini merupakan suatu cabaran besar yang perlu dihadapi oleh bukan sahaja para pemimpin tetapi juga Keluarga Malaysia bagi memastikan kestabilan negara terus terjamin,” katanya dalam ucapan perasmian program Kongres Perpaduan Negara 2021 hari ini.

Ismail Sabri mengingatkan rakyat Malaysia agar tidak memberi ruang kepada pihak luar yang hendak mengambil kesempatan sekiranya negara berada dalam keadaan tidak stabil.

“Mereka ada niat untuk terus menggugat perpaduan yang telah sedia terjalin selama ini.

“Lantaran itu sewaktu saya mengambil alih pentadbiran, kerajaan mengambil langkah menandatangani Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik pada 13 September lalu bagi membolehkan semua pihak dalam Keluarga Malaysia tanpa mengira fahaman politik, bersatu padu untuk bersama-sama berganding bahu menghadapi krisis berkembar kesihatan dan ekonomi,” jelasnya.

Di Malaysia, menurut Ismail Sabri, perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini terjalin kerana prinsip ini dipelihara dengan perasaan muhibah dan harmoni.

“Tidak hairanlah Malaysia telah lama menjadi model dan contoh kepada masyarakat lain di dunia kerana kita telah berjaya menyatukan semua kaum melalui perkongsian kuasa dan berupaya kekal hidup dengan aman damai melalui sikap toleransi yang amat tinggi,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri turut memuji penganjuran kongres ini yang disertai lebih 1,000 peserta sepanjang dua hari dijalankan secara webinar.

“Saya difahamkan, penyertaan peserta yang terdiri daripada para ilmuan, tokoh masyarakat, agamawan dan siswa daripada dalam serta luar negara termasuk dari Mesir.

“Menerusi kongres seperti ini, kerajaan berharap ia mampu menjadi satu platfom terbaik bagi percambahan ilmu serta pemikiran yang merentasi agama, akademik dan kepakaran bagi menilai semula aspek perpaduan di negara ini.

“Ia bagi mencari satu mekanisme terbaik bagi menangani isuisu perkauman dan perpaduan, sesuai dengan situasi semasa dan cabaran yang dihadapi kini,” ujarnya.

Malah gabungan dan jalinan yang erat antara ilmuan dengan pemimpin politik sangat diperlukan dalam merangka formula terbaik bagi membolehkan suasana harmoni yang dikecapi sebelum ini terus dapat dipertahankan hingga ke generasi akan datang.

“Pada masa sama, setiap Keluarga Malaysia juga perlu sentiasa hormat menghormati dan mengawal diri daripada membangkitkan persoalan-persoalan sensitif terhadap sesuatu kaum.

“Elakkan punca yang boleh meruntuhkan perpaduan seperti fitnah, khabar angin, buruk sangka, tapis dan selidiki perkhabaran terlebih dahulu sebelum diterima dan menghargai nilai perpaduan.

“Saya berharap Kongres Perpaduan Negara 2021 ini mampu merealisasikan matlamat kerajaan untuk memperkasa perpaduan dalam kalangan Keluarga Malaysia ibarat telur sesangkak, pecah sebiji, pecah semua,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles