KUALA LUMPUR: Dewan Ulama PAS Pusat (DUPP) tampil mempertahankan kenyataan Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mencetuskan kontroversi apabila menyeru umat Islam agar mengutamakan penyertaan dalam pilihan raya berbanding menunaikan ibadah umrah atau haji, sekiranya berkaitan dengan keperluan politik Islam.
Ketuanya, Datuk Ahmad Yahaya berkata, kenyataan Abdul Hadi perlu difahami dalam konteks keutamaan dalam Islam, bukan sebagai memperkecilkan ibadah haji atau umrah.
“Fokus dalam isu ini bukan terhadap ibadah khusus seperti haji dan umrah semata-mata, tetapi terhadap penilaian keutamaan (fiqh awlawiyyat) dalam menjalankan tuntutan agama,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.
Ahmad turut merujuk pandangan Almarhum Syeikh Dr Yusuf Al-Qardhawi dalam kitab Fiqh Awlawiyyat, yang menegur sikap individu yang terlalu memberi tumpuan kepada ibadah sunat seperti umrah tetapi mengabaikan tanggungjawab besar seperti jihad ilmu dan penglibatan dalam urusan awam.
Menurutnya, penyertaan dalam pilihan raya adalah satu kewajipan politik Islam yang penting untuk memilih pemimpin yang mampu memperjuangkan hak rakyat serta mempertahankan agama di peringkat pentadbiran negeri mahupun pusat.
“Dan bukankah realiti yang sudah terbentang di depan mata kita, apabila kesalahan dalam satu saat kita memangkah di atas kertas undi, kita sedang merana dengan satu demi satu ketempangan polisi kerajaan?
“Bagaimana semua ini tidak dianggap penting sedangkan ia antara kewajipan utama dalam Islam?” soalnya lagi.
Ahmad turut menyifatkan reaksi negatif terhadap kenyataan Abdul Hadi sebagai helah politik pihak lawan yang semakin kehilangan hujah dalam mempertahankan gabungan kerajaan sedia ada, khususnya antara UMNO dan DAP.
Katanya, seluruh pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning memahami bahawa tanggungjawab mengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ini adalah satu isyarat terhadap kelemahan dasar kerajaan negeri dan Persekutuan.
Terdahulu, Abdul Hadi ketika berucap dalam kempen PRK DUN Ayer Kuning dilaporkan menyeru umat Islam untuk menangguhkan hasrat menunaikan ibadah haji atau umrah demi memastikan kemenangan politik yang disifatkannya sebagai satu keutamaan.
Ahli Parlimen Marang itu berkata, umat Islam hari ini lebih memilih menunaikan ibadah di tanah suci berbanding berjuang untuk kemenangan politik yang dapat menjamin pemerintahan Islam seperti yang diperintahkan dalam ajaran agama.