KUALA LUMPUR: Polis menolak permohonan Himpunan di Istana Kehakiman Putrajaya, Isnin ini bagi menyatakan solidariti kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Ketua Polis Putrajaya Asisten Komisioner, Aidi Sham Mohamed berkata pihaknya ada menerima permohonan berhubung penganjuran himpunan itu pada 31 Dis lalu.
“Selepas disemak, didapati permohonan itu tidak lengkap dan polis menolak kebenaran untuk tujuan himpunan terbabit.
“Pemakluman penolakan permohonan sudah disampaikan kepada pihak penganjur pada 3 Jan,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu Aidi memaklumkan seramai 456 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan membuat kawalan keselamatan di Istana Kehakiman dan kawasan sekitarnya pada Isnin ini.
Himpunan solidariti itu diadakan hari yang sama Mahkamah Rayuan mendengar rayuan Najib, terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan titah adendum yang dikatakan dikeluarkan Yang di-Pertuan Agong terdahulu berhubung tahanan rumah.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain pada semalam menggesa orang ramai tidak menyertai apa jua perhimpunan yang dianjurkan oleh mana-mana pihak, demi menghormati Yang di-Pertuan Agong.
Gesaan beliau itu menyusul kenyataan Istana Negara, yang mengingatkan semua pihak menghormati Perlembagaan dan undang-undang bagi memohon pengampunan atau pengurangan hukuman seseorang banduan.