Sekatan Jalan Raya Berkurang, Polis Tingkatkan Penguatkuasaan Pematuhan Penjarakan Sosial

Pihak berkuasa akan meningkatkan penguatkuasaan terhadap pematuhan penjarakan sosial berikutan pengurangan sekatan jalan raya (SJR) di sekitar Shah Alam, Klang Selatan, Klang Utara dan Kuala Langat.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib memaklumkan, Seksyen 7 dan Seksyen 26 kekal sebagai SJR yang beroperasi selama 24 jam setiap hari.

“SJR Mobile pula tertumpu pada lewat malam hingga pagi iaitu 10 malam hingga 2 pagi dan 11 malam hingga 3 pagi. Ini membabitkan empat balai polis iaitu Seksyen 6, Seksyen 9, Seri Muda serta Bukit Jelutong.

“Selain itu, lapan pasukan pemantau meneruskan rondaan dan pemantauan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di lapangan dan mengambil tindakan aduan awam seperti biasa membabitkan kereta Peronda polis (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB).

“Penugasan statik di tempat tumpuan seperti perhentian bas dan pasar raya diteruskan,” demikian memetik laporan Berita Harian.

Dalam pada itu, dua lokasi SJR yang kekal beroperasi di Kuala Langat bertempat di SJR Banting dan Batu 7 Sijangkang.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman, tiga lagi SJR iaitu Sri Cheeding, berhampiran Tol SKVE dan Jalan Kebun ditutup di mana SJR ini akan berubah kepada penugasan pemantauan dan snap check selain pemantauan dan kawalan di kawasan tumpuan orang ramai dan kawasan industri.

Bagi daerah Klang Selatan pula, hanya satu SJR yang kekal iaitu di Jalan Langat (arah Banting ke Klang), manakala daerah Klang Utara, dua SJR dikekalkan sepanjang hari selama 24 jam adalah di SJR Batu 3 Jalan Kapar dan Batu 10 Jalan Kapar.

BBerkaitan

Latest articles