KUALA LUMPUR: Siasatan berkenaan kes gangguan seksual membabitkan pendakwah terkenal, Ebit Lew masih diteruskan dantidak diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, berkata pihaknya mengalu-alukan bantuan orang awam menyalurkan maklumat berkaitan untuk membantu siasatan.
“Kes itu tiada maklumat tambahan setakat ini. Ia masih disiasat dan tidak pernah ditutup.
“Kita juga mohon mereka yang ada maklumat kes itu tampil bantu siasatan,” katanya memetik BH, hari ini.
Untuk rekod pada 20 Ogos lalu, media melaporkan siasatan ke atas Ebit Lew dilakukan berikutan aduan diterima polis daripada beberapa individu yang mendakwa pendakwah itu melakukan gangguan seksual.
Sehari sebelum itu, Ebit Lew, 37, dipanggil ke Bukit Aman, bagi membantu siasatan berhubung kes gangguan seksual dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), JSJ Bukit Aman.
Pendakwah itu mendakwa dipanggil ke Bukit Aman berhubung fitnah yang sangat melampau terhadap dirinya.