KUALA LUMPUR: Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Supritendan Mohd Akmalrizal Radzi memaklumkan terdapat unsur pengabaian termasuk pengasuh meninggalkan bayi dalam tempoh yang lama sebelum mangsa yang berusia empat bulan ditemui mati di sebuah taska, baru-baru ini.
Bagaimanapun siasatan lanjut masih diteruskan dalam kes berkenaan, selain enam individu telah dipanggil memberikan keteranga, termasuk mengambil rakaman kamera litar tertutup.
Pihaknya juga masih menunggu hasil keputusan makmal dalam urusan bedah siasat mangsa.
Sebelum ini, polis membuka satu kertas siasatan berhubung kematian seorang bayi lelaki berusia empat bulan yang dihantar seorang pengasuh taska ke sebuah klinik di Bandar Saujana, Selangor pada 3 Januari lalu.
Mohd Akhmalrizal Radzi berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Terdahulu, polis telah menerima laporan kejadian itu daripada seorang doktor dari klinik di Bandar Saujana pada hari sama pada pukul 3.29 petang.
“Doktor memaklumkan telah menerima bayi lelaki yang dibawa pengasuh taska dalam keadaan pucat, kebiruan pada bibir dan kaki, tiada nadi, nafas serta pergerakan anak mata apabila disuluh dengan lampu.
“Pengadu serta-merta melakukan CPR dan bantuan oksigen pada mangsa sementara menunggu ambulans untuk membawa bayi itu ke Hospital Cyberjaya.
“Pihak hospital yang kemudian menerima bayi itu sekitar jam 4.35 petang juga melakukan CPR selama lebih 30 minit namun tiada tindak balas dan doktor mengesahkan bayi lelaki itu telah meninggal dunia pada pukul 5.05 petang,” katanya dalam kenyataan sebelum ini.