Polis Tak Tolak Kemungkinan Mayat Wanita Disimen Lebih Dari Setahun

KUALA LUMPUR: Siasatan terhadap penemuan mayat wanita yang disimen dalam kolah mandi bilik air sebuah rumah di Klang baru-baru ini masih diteruskan.

Dalam pada itu polis tidak menolak kemungkinan mangsa sudah dibunuh lebih daripada setahun, ujarvKetua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan.

“Ya betul (kemungkinan dibunuh lebih setahun) dan dua suspek lelaki warga asing yang sedang giat diburu polis disyaki menyimen kolah mandi bilik air itu.

“Selain itu, siasatan polis juga mendapati mereka menyewa rumah berkenaan selama dua tahun antara Ogos 2019 sehingga Oktober 2021.

“Kita masih melakukan siasatan untuk mengenal pasti motif pembunuhan ini,” katanya.

Malam tadi, polis melaporkan telah melakukan tangkapan ke atas seorang lelaki asing berusia 53 tahun bagi membantu siasatan dan mempergiatkan usaha mengesan dua lelaki warga asing dikenali Ranjit Singh dan Mandeep Singh.

Menurut Hussein, polis menerima laporan daripada pemilik rumah berkenaan Ahad lalu mengenai penemuan mayat wanita disimen dalam kolah mandi di bilik air rumah itu.

Pemilik rumah itu menerima maklumat itu daripada lelaki warga asing yang diupah untuk membaiki bumbung rumahnya pada November lalu.

Kemudian pada pukul 10.59 malam, polis dengan bantuan pasukan bomba telah memecahkan simen kolah mandi itu sebelum berjaya mengeluarkan mayat mangsa.

Mengulas lanjut dalam perkara berkenaan, Hussein juga menjelaskan identiti wanita berkenaan masih belum dikenal pasti memandangkan proses bedah siasat akan dijalankan di Hospital Shah Alam esok.

Setakat ini dalam kes berkenaan polis sudah mengambil keterangan daripada tiga individu termasuk pemilik rumah sewa itu di Kampung Pendamar, Klang untuk membantu siasatan lanjut.

“Manakala seorang lelaki asing berusia 53 tahun yang ditahan sebagai suspek dalam kes ini pada Isnin telah direman selama seminggu sehingga 11 Disember ini di Mahkamah Majistret Klang pagi tadi untuk membantu siasatan lanjut polis,” ujarnya.

BBerkaitan

Latest articles