Tindakan seorang wanita menghina polis dan mengugut mahu merempuh petugas sekatan jalan raya (SJR) di Facebook mengundang padah apabila ditahan, semalam, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Nik Ezanee Mohd Faisal.
Beliau berkata, suspek yang menggunakan nama Facebook Diana Mat itu melontarkan kata-kata berunsur hinaan dan ugutan itu terhadap petugas SJR di Putrajaya.
“Antara yang ditulis wanita tersebut di akaun media sosialnya adalah ‘aku pusing balik rempuh korang’ dan ‘kau dengan penjenayah sama je’,” katanya menurut laporan Sinar Harian.
Ezanee berkata, siasatan awal mendapati sebelum laporan polis dibuat telah tular beberapa tangkap layar di media sosial hantaran pengguna Facebook tersebut dengan menggunakan perkatan kesat dan berunsur ugutan kepada pihak polis.
Katanya, suspek yang merupakan pemilik akaun Facebook berkenaan ditahan kira-kira jam 9 malam.
“Polis telah merampas peranti berupa telefon bimbit milik wanita tersebut yang dipercayai digunakan untuk memuat naik hantaran di Facebooknya dan suspek akan dibawa ke hadapan Majistret Putrajaya bagi mendapatkan perintah tahanan reman di bawah seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi meneruskan siasatan,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana menakutkan secara jenayah, Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana mengaibkan dengan niat hendak mendatangkan bangkitan marah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 (menggunakan perkhidmatan rangkaian dan komunikasi secara tidak wajar).
“Pengguna media sosial yang lain dinasihatkan agar berhati-hati semasa mengeluarkan kenyataan atau komen yang boleh menjatuhkan imej, kredibiliti dan maruah seseorang ataupun jabatan,” kata beliau.