More

    Polis Tahan Pasangan Pengantin, 17 Pengiring Sebab Langgar SOP

    Sepasang pengantin baru yang sedang leka bergambar kenangan di kawasan sungai berhampiran Taman Nilam di sini ditahan polis kelmarin.

    Turut ditahan adalah 17 individu termasuk pengiring pengantin dalam kejadian jam 6.30 petang susulan melanggar peraturan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

    Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, kesemua mereka ditahan sepasukan polis yang kebetulan melakukan pemantauan prosedur operasi standard (SOP) di kawasan tersebut.

    “Secara keseluruhan seramai 19 individu berusia lingkungan 18 hingga 28 tahun ditahan sebelum dibawa ke balai polis.

    “Kesemua mereka termasuk pasangan pengantin itu ditahan kerana ingkar peraturan yang dikuat kuasakan ketika PKP.

    “Hasil pemeriksaan juga mendapati kebanyakan mereka menetap di Taman Nilam,” katanya.

    Tambah Shariman, kesemua mereka dibebaskan pada hari yang sama selepas tindakan kompaun dikenakan.

    Dalam perkembangan sama, Shariman memberitahu pihaknya meningkatkan pemantauan di kawasan berkenaan susulan orang ramai suka berkumpul di tepi sungai dan padang tersebut.

    Terdahulu, tular satu video berdurasi 23 saat menunjukkan kumpulan pasangan tersebut dibawa ke balai menaiki lori polis bersama beberapa individu.

    Berita Berkaitan

    Berita Terkini