BESTARI JAYA: Seorang lelaki ditahan polis selepas dipercayai melepaskan beberapa das tembakan ke udara ketika berlangsungnya upacara sembahyang tahunan di sebuah kuil di Ladang Bukit Badong, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin, berkata pihaknya menerima laporan berhubung satu video tular memaparkan insiden berkenaan sekitar jam 3.50 petang semalam.
“Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 11.30 pagi. Bertindak atas maklumat, sepasukan polis Bahagian Jenayah IPK Selangor bersama Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuala Selangor berjaya menahan suspek di Petaling Jaya, jam 8 malam,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, suspek kini direman tiga hari bermula hari ini hingga 4 September bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39 Akta Senjata 1960.
Azaharudin turut menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu supaya menghubungi pegawai penyiasat, Mohamad Ikhwan Mohd Zuki, bagi membantu siasatan.