KUALA LANGAT: Seorang guru taska berusia 38 tahun ditahan polis selepas disyaki mendera secara fizikal dan mental seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun dalam satu kejadian di sebuah taska di Bandar Rimbayu.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Akmalrizal Radzi berkata, siasatan bermula selepas ibu mangsa membuat laporan polis pada jam 9.01 malam, 24 Ogos lalu.
Laporan itu dibuat setelah wanita berkenaan dimaklumkan oleh seorang guru taska lain mengenai kelakuan kasar suspek terhadap anaknya.
“Berdasarkan maklumat yang diterima, suspek didakwa telah memukul kepala kanak-kanak itu menggunakan botol air dan tudung saji. Lebih mengejutkan, suspek juga dikatakan mengheret mangsa dari bilik kelas ke bilik air menggunakan kaki,” jelas beliau dalam satu kenyataan media.
Kejadian dipercayai berlaku pada 22 Ogos, dan ibu mangsa kemudian mengesahkan perkara tersebut setelah meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dirujuk oleh guru lain.
Selepas berbincang dengan ahli keluarga, ibu mangsa tampil membuat laporan polis.
Susulan siasatan, suspek telah ditahan selama lima hari sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.
Kes ini kini disiasat di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana pengabaian, penderaaan, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak kepada risiko.
Pihak polis turut menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian tersebut untuk tampil membantu siasatan dengan hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di talian 03-3187 2222.