KUALA LUMPUR: Dua orang lelaku warga asing telah ditahan polis bagi membantu siasatan penemuan mayat seorang wanita dipercayai dibunuh di dalam bilik sebuah hotel bajet di Bandar Kinrara, Puchong, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Serdang, A A Anbalagan berkata, tangkapan terhadap dua suspek yang berusia 39 tahun itu dilakukan di Bukit Puchong pada jam 3 pagi tadi dan satu kertas siasatan telah dibuka.
“Kita menerima laporan berhubung kejadian ini daripada seorang lelaki tempatan mengenai penemuaan mayat wanita warga asing itu sekitar pukul 10.15 malam.
“Mangsa berusia lingkungan 30-an itu ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah dipercayai dibunuh di dalam bilik sebuah hotel.
“Bagaimanapun, bedah siasat ke atas manga akan dijalankan di Hospital Serdang serta motif pembunuhan dan hubungan antara kedua-dua suspek bersama mangsa masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Anbalagan, kedua-dua suspek kini telah dikenakan reman tujuh hari sehingga 6 Januari ini bagi siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Pada masa sama, beliau menasihati orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu agar membantu siasatan.
Maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superitendan Siti Zamarah Jamaludin di talian 03-8074 2222.