Polis Tahan Dua Suspek Kes Tembak Port Dickson, Rampas Sepucuk Pistol

PORT DICKSON: Polis Seremban menahan dua lelaki yang dipercayai terlibat dalam insiden tembak berhampiran Plaza Tol Port Dickson, hanya dalam tempoh kurang 12 jam selepas kejadian tragis itu berlaku.

Ketua Polis Seremban, Azahar Abdul Rahim, berkata kedua-dua suspek berusia 40-an diberkas di sebuah rumah sekitar daerah berkenaan pada jam 2 pagi tadi.

Ketika serbuan, polis turut merampas sepucuk pistol yang dipercayai digunakan dalam serangan tersebut.

Sebelum ini, media melaporkan dua lelaki ditembak ketika berada di dalam sebuah Perodua Myvi, sebelum orang awam membawa mereka ke hospital.

Salah seorang mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 12.50 tengah hari semalam, manakala seorang lagi yang parah kini dirawat di Unit Kecemasan Hospital Tuanku Jaafar.

Berdasarkan siasatan awal, polis tidak menolak kemungkinan kejadian berpunca daripada dendam, memandangkan mangsa yang masih kritikal itu pernah disiasat sebagai suspek kes tetak di sebuah pasar raya pada April lalu.

Azahar berkata pihaknya sedang menyiasat sama ada insiden tersebut mempunyai kaitan dengan kumpulan kongsi gelap.

Permohonan reman terhadap kedua-dua suspek telah dibuat pagi tadi, dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan serta Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat 1971).

BBerkaitan

Latest articles