SHAH ALAM: Polis mengesyaki wujud aktiviti penjualan dadah ketika penganjuran konsert ambang tahun baharu, Pinkfish Countdown 2024 di Bandar Sunway, Subang, yang mengakibatkan empat individu meninggal dunia.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata siasatan mendapati semua mangsa membeli dan menggunakan pil ekstasi dalam konsert berkenaan.
“Siasatan kami turut mendapati ada antara mereka yang dapat (pil ekstasi) daripada luar dan ada juga yang beli dalam premis konsert itu.
“Kita tidak menafikan ada individu yang berlegar di situ (sekitar premis konsert) dan menjual pil ekstasi dengan harga RM50 bagi satu pil. Kebiasaannya, mereka menjual secara pakej iaitu tiga pil RM100,” katanya dalam satu sidang media sidang media.
Mengulas lanjut, Hussein berkata, polis masih menunggu laporan bedah siasat dan laporan toksikologi daripada mangsa yang meninggal dunia bagi mengetahui punca sebenar kematian mereka.
Katanya, semua tujuh mangsa termasuk yang meninggal dunia bukan kenalan dan hadir ke konsert berkenaan secara berasingan bersama rakan serta keluarga masing-masing.
Hussein berkata, sehingga kini enam saksi sudah dirakam percakapan. Polis dijangkan akan meanggil beberapa pihak lagi untuk membantu siasatan termasuk penganjur konsert dan rakan mangsa.