More

    Polis Siasat Wanita Yang Conteng Mural Pemimpin Negara

    Polis sedang mencari individu yang melakukan khianat pada gambar mural pemimpin negara di Taman Cahaya Alam U12 dengan beberapa perkataan yang tidak sepatutnya.

    Ketua Polis Shah Alam, ACP Baharudin Mat Taib berkata pihaknya menerima laporan daripada pihak berkuasa tempatan Shah Alam pada jam 11.53 pagi tadi.

    Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), individu yang menconteng lukisan mural berkenaan adalah wanita.


    Terdahulu mural berkenaan dilukis pada awal bulan ini bagi menghargai jasa mereka dalam menangani wabak Covid-19 di Malaysia.

    [VIDEO] Rakaman CCTV Tunjuk Dua Wanita Conteng Mural Agong, Pemimpin Negara

    Selain potret Yang di-Pertua Agong, muka-muka pemimpin negara yang dilukis adalah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Menteri Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub dan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

    “Pihak PBT telah bertindak membersih dan mengecat semula dinding berkenaan.

    “Pihak polis akan menjalankan siasatan berkaitan kes ini dibawah Seksyen 504 / 427 Kanun Keseksaan yang akan membawa hukuman penjara tidak kurang 1 tahun dan penjara tidak melebihi 5 tahun atau denda atau kedua-dua hukuman tersebut,” demikian menurut kenyataan media tersebut.

    Antara kata-kata yang diconteng di mural berkenaan adalah ‘babi’ dan ‘bangsat’.

    Perbuatan tersebut turut mendapat perhatian Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, dengan memberi reaksi ‘Semoga Allah SWT yang membalasnya’ menerusi hantaran di akaun Instagramnya.

    Baginda juga meluahkan rasa kesal dengan tindakan individu yang tidak bersyukur.

    Berita Berkaitan

    Berita Terkini