BUKIT KAYU HITAM – Polis Kedah membuka siasatan menyeluruh berhubung insiden tembakan yang menyasarkan Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam, termasuk kemungkinan unsur balas dendam oleh sindiket penyeludupan yang terjejas akibat operasi penguatkuasaan di kawasan sempadan.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, beberapa kejayaan rampasan yang dicapai AKPS sejak awal tahun ini berkemungkinan menjadi antara faktor yang mendorong tindakan berkenaan.
Menurut beliau, antara rampasan besar termasuk penahanan 100 tan beras serta produk makanan lain bulan lalu, selain penangkapan migran tanpa dokumen yang menjadikan kawasan itu tumpuan aktiviti penyeludupan.
“Semua aspek sedang diteliti, termasuk kemungkinan wujudnya rasa tidak puas hati dalam kalangan sindiket susulan operasi berterusan di sempadan,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, mangsa dipercayai menjadi sasaran kerana peranannya sebagai Komander AKPS di kawasan tersebut.
Dalam kejadian itu, satu das tembakan dilepaskan melalui bahagian cermin tingkap pemandu yang dilaporkan terbuka ketika kejadian, namun peluru tidak mengenai mangsa. Polis percaya senjata yang digunakan adalah jenis separa automatik.
Terdahulu dilaporkan, Senior Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir nyaris cedera selepas dua tembakan dilepaskan oleh suspek yang menaiki motosikal kira-kira pukul 5.40 pagi ketika beliau dalam perjalanan ke masjid untuk menunaikan solat subuh dengan memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X70.
Tembakan berkenaan mengenai pintu penumpang belakang sebelah kanan serta pintu penumpang hadapan, namun mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan. Polis kini giat mengesan suspek dan motif sebenar kejadian masih dalam siasatan.
Dalam pada itu, Polis tidak menolak kemungkinan dua suspek yang melepaskan tembakan ke kereta Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam diupah sindiket.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, pihaknya tidak boleh menolak kemungkinan suspek diupah sindiket untuk melakukan perbuatan itu.
“Bagaimanapun siasatan masih berjalan dan kita menyiasat dari semua aspek,” katanya










