Polis Cheras mengesahkan berlaku pergaduhan antara dua kumpulan penyokong bola sepak di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bandar Tasik Selatan tengah malam tadi, insiden yang kini tular di media sosial.
Ketua Polis Cheras, Aidil Bolhassan, memaklumkan pihaknya menerima aduan kejadian pada pukul 3.40 pagi daripada seorang anggota polis bantuan. Menurut aduan tersebut, pergaduhan dipercayai tercetus sekitar jam 12.03 tengah malam selepas perlawanan bola sepak antara Malaysia dan Singapura dalam Piala AFF 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil.
“Kejadian berlaku ketika tren tiba di Stesen LRT Bandar Tasik Selatan. Sekumpulan penyokong keluar dari tren dan bertengkar dengan kumpulan penyokong lain. Pertengkaran bertukar menjadi pergaduhan, melibatkan sekitar 20-30 orang,” katanya.
Dalam insiden tersebut, kumpulan terbabit bertindak agresif, termasuk bertumbuk, membaling tong sampah dan penghadang pintu lif, serta menendang pintu tren. Tindakan itu mengakibatkan kerosakan pada pintu cermin tren dan menghentikan operasi tren selama kira-kira lapan minit.
Pengadu bersama beberapa anggota polis bantuan bertugas berjaya meleraikan pergaduhan sebelum keadaan kembali terkawal apabila pintu tren tertutup. Penyokong yang terlibat kemudiannya diiring keluar dari stesen dengan selamat selepas tren mula bergerak semula.
Polis kini sedang menyiasat kes tersebut di bawah Seksyen 147 (merusuh) dan Seksyen 427 (melakukan khianat) Kanun Keseksaan. Usaha mengesan individu yang terlibat dalam insiden tersebut sedang giat dijalankan, dan saksi diminta tampil membantu siasatan.