Polis telah menerima laporan berhubung tindakan seorang khatib di sebuah masjid di Padang Serai yang didakwa menyampaikan khutbah Jumaat berkaitan isu pemberian kewarganegaraan kepada rakyat China.
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, menyatakan perkara ini akan disiasat oleh Pasukan Khas 3R Bukit Aman kerana ia dilihat sebagai penyalahgunaan pentas khutbah yang mencemarkan institusi masjid.
“Saya telah menerima aduan awal semalam mengenai khutbah di masjid di kawasan Parlimen Padang Serai yang menyentuh tentang pemberian kewarganegaraan kepada rakyat China yang dikatakan lebih daripada satu juta orang. Walaupun fakta ini telah diperbetulkan oleh menteri sebelum ini, namun fitnah ini terus disebarkan, lebih malang apabila masjid digunakan sebagai pentasnya,” katanya.
Beliau membuat kenyataan tersebut selepas merasmikan Majlis Sua Mesra Kementerian Dalam Negeri di Sekolah Kebangsaan Ladang Dublin, Karangan. Saifuddin menegaskan, pentas khutbah seharusnya menjadi medium untuk menyampaikan pesanan bertakwa, menyeru kebaikan, dan menjauhi kezaliman.
Beliau juga percaya bahawa teks khutbah yang disediakan oleh pihak berkuasa agama tidak menyentuh isu tersebut, dan tindakan khatib berkenaan adalah atas inisiatif sendiri. “Saya mengulangi gesaan agar institusi masjid dan pimpinan masjid memastikan platform khutbah tidak disalahgunakan untuk menyebarkan bahan yang jauh terpesong,” tambahnya.