Polis Siasat Kematian 4 Individu Selepas Hadiri Konsert

Kuala Lumpur: Polis sedang menjalankan siasatan berhubung kematian empat individu yang dilaporkan selepas menghadiri sebuah konsert ambang tahun baharu di Bandar Sunway, malam tadi.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, mengesahkan pihaknya menerima empat laporan daripada Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) berkenaan kematian dua lelaki dan dua wanita yang terlibat.

“Hasil siasatan awal mendapati keempat-empat individu telah menghadiri konsert yang berlangsung di Bandar Sunway. Bedah siasat ke atas semua mangsa telah selesai dilakukan, namun punca kematian masih menunggu hasil siasatan makmal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Datuk Hussein, pemeriksaan awal terhadap tubuh mangsa tidak menemui sebarang kecederaan luaran.

“Kes ini telah diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). Namun, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti sama ada terdapat unsur jenayah atau kemungkinan keracunan yang terlibat,” jelas beliau.

Polis turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini untuk tampil membantu siasatan. Mereka boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Mohd Ridzal Puat di talian 03-56382122 atau melaporkan di mana-mana balai polis berhampiran.

BBerkaitan

Latest articles