Polis Siasat Kebocoran Minit Mesyuarat JAC

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail mengesahkan pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung pendedahan dan penyebaran dokumen yang disyaki minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) yang tular di media sosial sejak semalam.

Menurut Mohd Khalid, siasatan dilakukan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di bawah tiga undang-undang utama, iaitu Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972, Seksyen 203A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Fokus siasatan adalah terhadap pendedahan dan penyebaran maklumat berkenaan sama ada dalam kalangan dalaman atau menerusi media sosial.

“Semua saksi relevan akan dipanggil bagi membantu siasatan dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati terlibat,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Khalid turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan sebarang dokumen atau maklumat yang diklasifikasikan sebagai terperingkat kerana ia adalah satu kesalahan serius.

“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam pendedahan serta penyebaran maklumat tersebut,” tegas beliau.

Terdahulu, media melaporkan satu laporan polis telah dibuat berhubung kebocoran dokumen didakwa minit mesyuarat JAC yang tersebar di platform digital sejak semalam.

Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil, hari ini memaklumkan beliau turut difahamkan laporan polis mengenainya sudah pun diterima pihak berkuasa.

Penyebaran dokumen tersebut menimbulkan kebimbangan kerana ia didakwa mengandungi maklumat sensitif berkaitan pelantikan hakim berikutan persaraan Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat.

BBerkaitan

Latest articles