Polis Siasat Individu Baling Batu Di Ibu Pejabat PAS

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian Ibu Pejabat PAS Pusat di Jalan Raja Laut, di sini dibaling batu oleh seorang lelaki tidak dikenali mengakibatkan dinding kacanya pecah.

Razarudin berkata kejadian berlaku pada 5.30 pagi tadi dan polis giat mengesan suspek terlibat dengan dibantu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Dalam kejadian itu, suspek yang menaiki motosikal telah membuat bising sebelum bertindak membaling batu ke dinding kaca pejabat berkenaan. Perkara itu dilihat oleh pengawal yang bertugas di bangunan itu.

“Polis sedang mengesan suspek terlibat, insya-Allah dalam masa terdekat kita akan dapat menjejakinya,” katanya dalam sidang media khas mengenai Ops Cantas sempena PRN di Bukit Aman di sini hari ini.
Artikel berkaitan: Pintu cermin pejabat Pas Pusat pecah dibaling batu
Polis, katanya sedang menyemak rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berhampiran bagi membantu usaha mengenal pasti individu berkenaan.

Menurutnya kes itu disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan bagi kesalahan khianat.

Pagi tadi, PAS membuat laporan polis selepas dinding kaca di Ibu Pejabat PAS Pusat dibaling dengan batu oleh seorang lelaki, beberapa jam sebelum bermula proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.

— BERNAMA

BBerkaitan

Latest articles