GERIK: Polis sedang menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan ngeri yang mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam kejadian awal pagi tadi di Kilometer 15, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Jeli–Gerik.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, siasatan kini menjurus kepada pelbagai aspek termasuk kecuaian manusia, keadaan kenderaan dan struktur jalan raya di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Hasil siasatan awal mendapati bas dan MPV jenis Perodua Alza yang terlibat dalam kejadian ini tidak bertembung, sebaliknya bergerak sehala menuju ke Gerik ketika kemalangan berlaku,” katanya dalam sidang media hari ini.
Menurut beliau, maklumat awal menunjukkan kemungkinan bas berkenaan hilang kawalan lalu melanggar bahagian belakang MPV tersebut.
Kata Noor Hisam, lokasi kemalangan dikenal pasti sebagai kawasan berselekoh, menurun dan tidak mempunyai pencahayaan lampu jalan, menjadikannya antara faktor yang sedang diteliti pihak berkuasa.
Siasatan melibatkan pelbagai agensi termasuk PUSPAKOM, MIROS dan JPJ, bagi meneliti aspek teknikal kenderaan dan keselamatan laluan.
Bas persiaran itu membawa 42 pelajar UPSI dari Jerteh, Terengganu ke kampus di Tanjong Malim bersama seorang pemandu dan seorang kelindan.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, 15 pelajar disahkan maut – 13 meninggal dunia di lokasi, manakala dua lagi menghembuskan nafas terakhir di Hospital Gerik.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh dan Hospital Gerik untuk proses bedah siasat dan pengecaman waris,” kata Noor Hisam.
Kesemua pelajar berusia antara 21 hingga 23 tahun, dan dijadual tiba di kampus pagi ini.
Sementara itu, 27 penumpang lain mengalami kecederaan, terdiri daripada 23 pelajar perempuan dan empat lelaki.
Turut cedera ialah pemandu bas berusia 40 tahun dan kelindan berusia 54 tahun.
Manakala MPV Perodua Alza pula, sepasang suami isteri berusia 37 dan 36 tahun serta seorang anak perempuan berusia enam tahun cedera, manakala seorang lagi anak lelaki berusia tiga tahun tidak mengalami kecederaan.
“Mangsa yang cedera dihantar ke HRPB, Hospital Gerik, dan Hospital Baling. Ada yang telah dibenarkan pulang selepas menerima rawatan,” tambah beliau.
Pihak polis masih belum mengambil keterangan daripada pemandu bas dan MPV kerana kedua-duanya masih dirawat di hospital.