KUALA LUMPUR: Polis membuka siasatan terhadap dua pemilik akaun TikTok yang didakwa menyebarkan kandungan berunsur hasutan dan maklumat palsu di media sosial.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri M. Kumar, berkata kes pertama melibatkan penularan isu kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, manakala satu lagi kes mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Israel.
Menurutnya, kedua-dua pemilik akaun tersebut sudah dikenal pasti dan tiada kaitan antara satu sama lain.
“Usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan, manakala siasatan dikendalikan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian D5, JSJ Bukit Aman,” katanya seperti dipetik Harian Metro, hari ini.
Kumar menjelaskan, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Beliau pada masa sama memberi amaran keras kepada orang ramai agar tidak membuat, memuat naik atau menyebarkan kandungan berunsur hasutan dan berita palsu yang boleh mencetuskan kegusaran awam serta menjejaskan keharmonian negara.
“Mana-mana individu yang berdegil akan berdepan tindakan tegas tanpa sebarang kompromi,” tegasnya.