Polis siasat dakwaan ‘pusat indoktrinasi’ GISBH

PETALING JAYA: Polis menjalankan siasatan terhadap dakwaan wujud pusat kuarantin Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) di beberapa lokasi di dalam dan luar negara.

Ketua Polis Negara, Razarudin Husain, berkata pusat kuarantin itu dipercayai tempat indoktrinasi dan penderaan mental terhadap ahli GISBH yang bermasalah.

Katanya, siasatan itu dijalankan susulan maklumat dimuat naik melalui akaun Facebook Pusat Kajian Ajaran Sesat (Pukas).

Selain itu, polis juga giat mengesan aset dikaitkan atau dimiliki oleh GISBH bagi membantu siasatan, katanya dalam kenyataan.

Mengenai perkembangan terbaru Op Global, Razarudin berkata polis membuka 10 kertas siasatan bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Katanya, ia hasil laporan polis berhubung isu buruh paksa diterima daripada beberapa individu yang pernah bekerja dengan syarikat GISBH.

Sementara itu, Razarudin menjelaskan kenyataan media pada 25 Sept menyatakan ‘GISBH tidak pernah membayar cukai berkaitan’ adalah merujuk kepada tahun taksiran terkini yang sedang disiasat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dengan kerjasama polis.

Siasatan ini memfokuskan kepada beberapa syarikat bawah GISBH yang dipercayai gagal mematuhi beberapa peruntukan Akta Cukai Pendapatan 1967,
katanya.

Sehingga kini, polis menyelamatkan seramai 542 kanak-kanak susulan siri serbuan di rumah amal dan kediaman anggota GISBH. Siasatan mendapati sekurang-kurangnya 13 daripada kanak-kanak terbabit didakwa diliwat.

Pihak berkuasa turut membekukan 138 akaun bank milik GISBH, merampas dana lebih RM800,000, 22 kenderaan bernilai kira-kira RM1.87 juta dan 14 hartanah sekali gus melumpuhkan operasi syarikat itu.

Pengurusan tertinggi syarikat termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Nasiruddin Ali ditahan polis dan direman hingga hari ini.

BBerkaitan

Latest articles