KUALA LUMPUR: Polis sedang menyiasat dakwaan seorang guru lelaki di sebuah sekolah di Sepang yang dipercayai mempunyai hubungan dengan anak muridnya yang berusia 12 tahun.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, laporan telah dibuat oleh bapa kandung mangsa pada 26 Februari lepas setelah menyedari anak perempuannya kerap berhubung dengan guru berusia 30-an itu melalui aplikasi TikTok, Love8, dan WhatsApp dalam keadaan mencurigakan.
“Perbualan antara mereka tidak mencerminkan hubungan biasa antara seorang guru dan anak murid, menyebabkan bapa mangsa tampil membuat laporan polis,” katanya dalam satu kenyataan.
Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 15(a)(iii) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) dan jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali.
Norhizam menegaskan, siasatan masih dijalankan dan menasihati orang ramai agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan.