Polis Sedia Siasat Himpunan #TangkapAzamBaki Jika Sentuh Isu 3R

KUALA LUMPUR: Polis memberi amaran akan membuka kertas siasatan sekiranya didapati terdapat unsur menyentuh isu perkauman, agama dan institusi diraja (3R) sepanjang perhimpunan #TangkapAzamBaki yang berlangsung di ibu negara, petang semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya kini sedang menilai secara menyeluruh semua aspek perhimpunan berkenaan, termasuk kandungan ucapan dan perjalanan program bagi memastikan tiada pelanggaran undang-undang berlaku.

Menurut beliau, perhimpunan yang bermula sekitar pukul 4 petang di hadapan kompleks beli-belah Sogo itu menyaksikan peserta berarak secara aman menuju ke Dataran Merdeka sebelum berakhir kira-kira pukul 6 petang dalam keadaan terkawal.

“Kita akan teliti keseluruhan perjalanan perhimpunan, termasuk ucapan dan kandungan program. Jika ada unsur menyentuh isu 3R, polis tidak teragak-agak membuka kertas siasatan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam sidang media selepas perhimpunan tersebut.

Fadil memaklumkan, polis telah menjalankan libat urus awal dengan pihak penganjur bagi memastikan perhimpunan berjalan lancar dan mematuhi peraturan ditetapkan.

Beliau berkata, beberapa ucapan telah disampaikan sebelum peserta bergerak secara berperingkat ke Dataran Merdeka, dengan keseluruhan program berlangsung tanpa sebarang insiden yang menjejaskan ketenteraman awam.

Dalam masa sama, kira-kira 600 anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi telah digerakkan bagi memantau keselamatan sepanjang perhimpunan berlangsung.

Tambah beliau, pihak polis akan terus menjalankan pemantauan termasuk meneliti rakaman dan maklumat risikan bagi memastikan tiada elemen yang menyalahi undang-undang.

“Kerjasama baik antara penganjur, peserta dan pihak berkuasa membuktikan perhimpunan boleh dilaksanakan secara aman tanpa menjejaskan ketenteraman awam,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles