Polis Sahkan Siasat Presiden PAS Berkaitan Isu 3R

KUALA LUMPUR: Presiden PAS Abdul Hadi Awang kini berdepan siasatan bawah Akta Hasutan kerana dipercayai menyentuh isu 3R (rulers, religion, race atau Raja-raja, agama dan bangsa).

Perkara itu disahkan Timbalan Pengarah Forensik dan Perancangan Strategik Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, G Suresh Kumar, dalam kenyataan medianya malam tadi.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan sedang menjalankan siasatan terhadap Presiden PAS Abdul Hadi Awang berhubung kenyataan yang dipercayai menyentuh isu 3R dengan mendakwa DAP mahu mengekalkan pengertian Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan berdasarkan tafsiran penjajah yang menjunjung liberalisme dan kebebasan yang diamalkan oleh negara barat.

“Kenyataan tersebut dipercayai dilakukan melalui hantaran di Facebook Abdul Hadi Awang pada 8 Julai lalu.

“Isu tersebut turut diulas dalam artikel yang diterbitkan portal berita New Straits Times bertarikh 8 Julai,” katanya.

Tambahnya, siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Kawalan dan Multimedia 1998.

“Siasatan masih dijalankan dan orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang bertindak menggugat ketenteraman awam dan keselamatan negara,” kata Suresh.

BBerkaitan

Latest articles