Polis Sahkan Kematian Budak 6 Tahun Akibat Jerutan Di Leher

KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan punca kematian kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang mayatnya ditemukan ditanam di kawasan Rompin, Jempol, disebabkan tekanan pada bahagian leher mangsa akibat jerutan pengikat kabel.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, punca itu diperoleh hasil bedah siasat yang dijalankan kira-kira empat jam dari 12 tengah hari tadi di Hospital Rembau.

“Hasil bedah siasat mendapati kematian akibat tekanan oleh jerutan pengikat kabel. Tekanan di leher boleh menyebabkan kematian,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK).
Ahmad Dzaffir berkata, kes awal disiasat oleh Polis Kontinjen Johor membabitkan Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 serta Seksyen 323KK/18 Akta Keganasan Rumah Tangga dan orang hilang.

“Buat masa ini suspek masih lagi ditahan reman di Johor dan kemudian kami akan menjalankan siasatan dan memanggil saksi untuk bantu siasatan, terutama ibu mangsa,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal, pihaknya dimaklumkan bapa kepada kanak-kanak itu menghadapi masalah rumah tangga dan dalam proses bercerai dengan isterinya.

Ketua Polis Daerah Jempol, Supt Norhisham Mustapar ketika dihubungi berkata, polis merampas sebilah cangkul dipercayai digunakan suspek untuk menggali lubang sebelum menanam mayat kanak-kanak lelaki itu di kawasan terpencil berhampiran Jalan Bahau–Rompin.

“Soal siasat lanjut terhadap suspek akan dijalankan sebaik suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol beberapa hari lagi,” katanya.

Bapa kandung mangsa berumur lingkungan 30-an itu direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kematian anak lelakinya yang mayatnya ditemukan di Rompin, selepas dia membuat laporan pada 24 Julai lepas mendakwa kanak-kanak itu hilang di Bukit Indah, Johor.

Lelaki itu pada awalnya mendakwa anaknya hilang kira-kira 4 petang, 23 Julai ketika ditinggalkan berseorangan di dalam kereta semasa suspek keluar membeli makanan.

Mayat kanak-kanak itu kemudian dijumpai ditanam di kawasan berkenaan kira-kira 4.30 petang semalam. – Bernama

BBerkaitan

Latest articles