SHAH ALAM: Polis Selangor akan meningkatkan rondaan ke semua sekolah termasuk membenarkan kenderaan Unit Kereta Peronda (MPV) memasuki kawasan sekolah secara berkala bagi memastikan kehadiran polis lebih ketara dan respon lebih pantas sekiranya berlaku kecemasan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, pendekatan itu dilaksanakan sebagai sebahagian langkah keselamatan menyeluruh untuk melindungi pelajar, guru dan ibu bapa.
“Kami akan mempergiatkan rondaan dan memperkukuh program Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS). Kehadiran polis di dalam kawasan sekolah akan membantu mencegah insiden tidak diingini dan meningkatkan keyakinan orang ramai,” katanya pada sidang media hari ini.
Menurut Shazeli, arahan itu dikeluarkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Ismail dan akan dikuatkuasakan di seluruh negeri Selangor.
Beliau menegaskan, langkah mengetatkan kawalan keselamatan tidak hanya diambil susulan kes pembunuhan pelajar perempuan di Bandar Utama semalam, tetapi sebagai usaha jangka panjang menangani isu keselamatan sekolah.
“Kami sedang bekerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan (KPM) dan Jabatan Pendidikan Negeri untuk mencari mekanisme terbaik memastikan sekolah benar-benar selamat,” katanya.
Pada masa sama, polis turut bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi memadam penyebaran gambar serta maklumat peribadi mangsa dan suspek yang tular di media sosial.
Semalam, seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun maut selepas disyaki ditikam berkali-kali oleh rakan sekolah lelakinya berusia 14 tahun dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya.
Kes tersebut mengejutkan seluruh negara dan mencetuskan desakan agar kawalan keselamatan di sekolah ditambah baik.
Shazeli memberi jaminan polis tidak akan berkompromi dan akan terus memperkukuh kehadiran anggota di kawasan sekolah untuk mengelakkan kejadian serupa berulang.