Polis Nasihatkan Parti, Pemimpin Politik Patuh SOP

JOHOR BAHRU: Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat memaklumkan pihaknya akan meningkatkan pemantauan terhadap semua acara, program serta himpunan parti politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) terus dipatuhi.

Dalam masa yang sama, Kamarul Zaman turut menasihatkan supaya semua parti politik sentiasa peka dalam pematuhan SOP bagi mengelakkan jangkitan wabak COVID-19 terus menular.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam memastikan pematuhan SOP dalam program, acara atau perhimpunan politik selepas ini dipatuhi atau kompaun akan terus dikeluarkan jika pelanggaran dikesan.

“PDRM ingin menasihatkan semua parti politik patuhilah SOP yang sudah ditetapkan KKM.

“Saya nampak ada usaha patuh SOP, kerusi disusun berjarak, penjarakan dilakukan pada mula acara, namun bila acara dah di tengah atau nak sampai penghujung, keterujaan timbul sehingga segala SOP dilupakan begitu sahaja.

“Perlu ada lebih kawalan dari penganjur program politik terutama juruacara perlu memainkan peranan beri ingatan pada penonton atau jemputan perlu patuh SOP dari masa ke semasa.

“Jika berlaku perlanggaran SOP, kompaun akan terus dikeluarkan mengikut Akta 342 Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya ketika dihubungi.

Untuk rekod, KKM pada semalam mengarahkan tiga pemimpin Barisan Nasional (BN) yang hadir ke pelancaran Briged MIC Johor dikompaun kerana melanggar SOP.

Menterinya, Khairy Jamaluddin, dilaporkan mengarahkan pegawai KKM Putrajaya mengeluarkan kompaun itu terhadap Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran, Bendahari Agung BN, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein serta Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad.

Dalam pada itu, Kamarul Zaman, berkata lebih ramai anggota PDRM akan dikerah bagi memantau semua tempat perhimpunan dan acara politik dijalankan bagi pemantauan.

” Kita akan buat pasukan pemantau setiap acara, kempen dan perhimpunan politik yang dibuat bagi memastikan pelanggaran SOP tidak berlaku.

“Kita akan lihat keadaan. KKM akan keluarkan kompaun jika pelanggaran SOP berlaku namun ada yang PDRM keluarkan sendiri dan ada yang kita minta KKM keluarkan. Jadi nasihat saya mudah, patuhilah SOP setiap masa,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles