PETALING JAYA: Polis menolak dakwaan bahawa kejadian tragis pembunuhan pelajar perempuan Tingkatan Empat di sebuah sekolah di Bandar Utama pagi tadi berpunca daripada perbuatan buli.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, siasatan awal mendapati mangsa mengalami beberapa kesan tikaman pada badan dan dipercayai diserang berhampiran tandas perempuan.
“Setakat siasatan dijalankan, saya mengesahkan tiada unsur buli. Motif kejadian masih disiasat,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian.
Menurut Shamsudin, polis merampas dua senjata tajam daripada suspek yang juga pelajar Tingkatan Dua di sekolah sama.
Tiada pelajar lain dilaporkan cedera.
Beliau berkata, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya esok untuk permohonan reman, manakala kenyataan saksi termasuk rakan mangsa dan guru sedang dirakam.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Ismail memberi jaminan bahawa sekolah-sekolah di seluruh negara kekal selamat meskipun insiden ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.
Beliau menegaskan, sistem sedia ada yang melibatkan pegawai perhubungan sekolah dan rondaan berkala polis sudah mencukupi, maka tiada keperluan untuk menempatkan anggota polis secara tetap di sekolah.
“Kita mempunyai lebih 10,000 sekolah, ratusan ribu pelajar dan lebih 400,000 guru. Beberapa kejadian tidak dapat dielakkan, tetapi polis akan terus bekerjasama dengan pihak sekolah untuk mencegah kes seumpama ini,” katanya.
Khalid turut mengingatkan bahawa pendedahan kepada media sosial dan pengaruh luar boleh mempengaruhi tingkah laku pelajar.
Beliau menyeru ibu bapa serta guru untuk lebih peka serta memantau aktiviti dalam talian anak-anak bagi mengelakkan tindakan luar kawalan.