KUALA LUMPUR: Selain kecewa, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata dirinya sudah bosan dengan tindakan pihak tertentu yang tidak henti memfitnah dengan buku tulisannya berjudul Becoming Hannah: A Personal Journey.
Ahli Parlimen Segambut itu juga menepis dakwaan beliau menyebarkan ajaran Kristian dengan memurtadkan orang Islam.
Hannah juga menyifatkan ia sangat tidak masuk akal dan fitnah yang kerap berulang sejak 2017.
“Jadi, saya nasihatkan kepada semua yang gunakan media sosial, tengok Youtube, tengok video semua kena selalu buat kajian check fakta sama ada betul atau tidak.
“Kalau tidak memang setiap hari kita berhadapan dengan isu yang sama. Buku saya sudah 2014 siar, sudah berapa tahun dah, dan saya ini ahli politik public figure…mana-mana saya pergi ada SB (unit cawangan khas) ada polis.
“Kalau saya ada murtadkan orang Islam tak mungkin polis tak tahu. Adakah saya boleh berdiri di sini setelah 10 tahun…ini semua fitnah tak masuk akal,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas sesi penyerahan projek naik taraf kemudahan sukan Wilayah Persekutuan: Gelanggang Bola Keranjang, hari ini.
Memaklumkan dirinya sering bertemu dan bekerja dengan orang Islam, Hannah berkata hanya orang yang mengenali dirinya tahu bagaimana beliau berkhidmat kepada masyarakat.
Sementara itu Hannah memaklumkan laporan polis telah dibuat pada 31 Disember lalu berhubung fitnah yang dilemparkan selain bimbangkan keselamatan diri dan keluarganya.
Hannah juga menasihatkan orang ramai tidak membiasakan dengan budaya mengancam apabila timbulnya sesuatu isu
“Saya nak budaya macam ini dihentikan kerana negara kita negara aman dan saya rasa kalau kita nak bertarung dalam gelanggang politik, kita gunakan polisi dan bukan macam fitnah isu agama dan kaum seperti ini,” ujarnya.
Pada 23 Disember lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman fitnah yang difailkan oleh Hannah Yeoh terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berhubung kenyataan yang dibuatnya semasa satu forum di Universiti Teknologi MARA (UiTM) empat tahun lalu.
Saman tersebut difailkan pada 3 Julai 2020, di mana Hannah mendakwa Musa dengan niat jahat telah membuat kenyataan tidak benar terhadap dirinya semasa forum bertajuk Wacana Isu Semasa Perjanjian Damai Hat Yai 1989: PKM Menyerah Diri?
Kenyataan yang menjadi pertikaian itu mendakwa bahawa Hannah telah menulis buku bertajuk Becoming Hannah: A Personal Journey dengan tujuan menjadikan Malaysia sebuah negara Kristian, merosakkan agama Islam dan negara, serta meletakkan kepentingan peribadi di atas kepentingan negara.