Polis Masih Tiada Bukti Kukuh Kaitkan Dakwaan Pegawai Acu Senjata Kepada Albert, Isteri

SHAH ALAM: Polis setakat ini belum memperoleh sebarang keterangan atau bukti yang dapat mengesahkan dakwaan kononnya pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengacukan senjata ketika serbuan dan penahanan seorang ahli perniagaan, Albert Tei, di kediamannya di Puchong pada 28 November lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, berkata pihaknya mengesahkan menerima laporan polis yang dibuat oleh isteri kepada ahli perniagaan berkenaan pada hari kejadian.

Laporan itu diterima oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang.

Menurut beliau, pengadu mendakwa pasukan penguat kuasa SPRM telah menyerbu kediaman mereka dan menahan suaminya mengikut Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009.

Dalam laporan sama, wanita berkenaan turut mendakwa terdapat pegawai SPRM yang mengacukan senjata ke arah dirinya dan suami semasa serbuan dijalankan.

“Namun sehingga kini, siasatan polis tidak menemui sebarang bukti atau keterangan yang boleh menyokong dakwaan tersebut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Selangor, hari ini.

Shazeli memaklumkan bahawa ramai saksi sudah dipanggil untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan, namun jumlahnya tidak didedahkan buat masa ini.

Katanya, hanya ahli keluarga terdekat pengadu yang masih belum tampil memberi keterangan kerana dipercayai berada di luar kawasan selepas kejadian, namun mereka telah memberi komitmen untuk hadir apabila dipanggil kelak.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata polis turut menerima beberapa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari kediaman berkenaan, selain rakaman perbualan telefon yang kini telah diserahkan kepada pihak forensik untuk dianalisis.

“Rakaman itu memang wujud, tetapi butiran lanjut tidak boleh didedahkan ketika ini. Polis juga akan memanggil semula pengadu bagi mendapatkan keterangan tambahan,” katanya.

Tambah beliau, satu kertas inkuiri polis telah dibuka bagi menyiasat dakwaan tersebut secara menyeluruh.

Sebelum ini, dilaporkan bahawa pegawai SPRM yang terlibat dalam serbuan itu dilengkapi kamera badan serta peralatan rakaman.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, turut dilaporkan berkata satu laporan polis telah dibuat berhubung tuduhan berkenaan yang disifatkannya sebagai fitnah terhadap agensi tersebut.

BBerkaitan

Latest articles