Polis Lepas Tembakan Amaran Tahan Lelaki Mengamuk Bawa Pisau Pemotong Daging

KUALA SELANGOR: Detik cemas tercetus di Taman Jasa, Ijok apabila seorang lelaki bersenjatakan pisau pemotong daging bertindak mengamuk sehingga memaksa polis melepaskan tembakan amaran bagi mengawal keadaan.

Video kejadian tersebut tular di media sosial semalam, memperlihatkan anggota polis berdepan situasi tegang ketika cuba menahan suspek yang dipercayai cuba menyerang orang awam.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 6 petang berhubung tindakan agresif lelaki berusia 25 tahun itu.

“Sebaik tiba, polis mendapati suspek menjerit sambil memegang pisau. Anggota cuba menenangkan keadaan, namun suspek bertindak agresif sehingga tembakan amaran terpaksa dilepaskan.

“Polis berjaya menahan suspek dan tiada kecederaan dilaporkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau memaklumkan, suspek direman enam hari bermula hari ini hingga 18 Oktober untuk siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Azaharudin turut menegaskan hasil siasatan awal mendapati suspek tidak terbabit dalam kes samun seperti dakwaan yang tular di media sosial.

Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berhubung kejadian diminta menghubungi Bilik Gerakan IPD Kuala Selangor di talian 03-3289 1222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

BBerkaitan

Latest articles