Polis Kelantan Bongkar Taktik Tokan Dadah, Jenayah Seksual Remaja Semakin Membimbangkan

KOTA BHARU: Tokan dadah kini dikesan menggunakan taktik baharu untuk mempengaruhi golongan muda dengan mempamerkan kemewahan hidup bagi menarik remaja menjadi pengedar kecil-kecilan atau ‘pusher’.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung taktik itu yang semakin meluas digunakan bagi merekrut pelapis baharu dalam sindiket dadah.

“Remaja kini melihat tokan dadah sebagai idola kerana terpengaruh dengan gaya hidup mewah yang mereka tunjukkan kereta mewah, rumah besar berjuta ringgit dan kehidupan penuh glamor.

“Inilah taktik mereka. Setelah berjaya mempengaruhi remaja, kumpulan ini akan menarik mereka untuk menjadi pengedar kecil,” katanya ketika merasmikan Program Citra Remaja Unggul hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Pendidikan Kelantan, Siti Norina Muhamad.

Mohd Yusoff menegaskan, pihak polis bimbang trend itu akan terus menjerat anak muda jika tidak dibendung segera.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan sebanyak 12 pelajar ditahan kerana terbabit dengan penyalahgunaan dadah di seluruh Kelantan sejak Januari hingga September tahun ini.

Kes berkenaan direkodkan di beberapa daerah termasuk Kota Bharu, Pasir Mas, Bachok dan Tanah Merah.

“Walaupun jumlahnya kecil, ia membimbangkan kerana melibatkan golongan pelajar sekolah. Ini menunjukkan pengaruh dadah telah menyusup masuk hingga ke peringkat remaja,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Yusoff berkata, pembinaan tembok sempadan di sepanjang Sungai Golok dijangka menamatkan sepenuhnya aktiviti penyeludupan yang selama ini menggunakan pangkalan haram di sempadan Kelantan-Thailand.

“Insya-Allah, dengan adanya tembok sempadan itu nanti, kegiatan penyeludupan di semua pangkalan haram dapat disekat 100 peratus,” katanya.

Semalam, kerajaan pusat dilaporkan meluluskan peruntukan RM1.5 bilion bagi projek berkenaan dalam usaha memperkukuh kawalan di sempadan negeri itu.

Sementara itu, polis Kelantan turut membuka 349 kertas siasatan berhubung jenayah seksual sejak Januari hingga September tahun ini iaitu peningkatan 92 kes berbanding 257 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

“Sebahagian besar kes membabitkan rogol dan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak. Turut direkodkan kes cabul, liwat, isyarat lucah, penyebaran gambar tidak senonoh serta mengintip,” katanya.

Menurut beliau, jenayah seksual kini menjadi isu serius di negeri itu, malah cabaran terbesar adalah kerana ia boleh berlaku di mana-mana termasuk di rumah atau dalam kenderaan.

“Banyak kes rogol di Kelantan melibatkan suka sama suka dan mengejutkan, ada yang berlaku di rumah sendiri ketika ibu bapa berada di dalam rumah.

“Ini menunjukkan pentingnya peranan ibu bapa untuk memantau anak-anak, dibantu oleh sekolah dan masyarakat setempat,” tegasnya.

BBerkaitan

Latest articles